Polis mohon saksi tampil bantu siasatan kes pecah masuk restoran

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

ALOR GAJAH 20 Jun – Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu memohon saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian pecah masuk melibatkan sebuah restoran di Taman Dimensi, Jelatang pada awal pagi semalam, menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), bagi membantu siasatan.

Arshad Abu berkata, restoran berkenaan kerugian kira-kira RM7,000 dalam kejadian pada jam 5 pagi itu.

Katanya, ia hanya disedari seorang pekerja restoran berkenaan ketika ingin membuka kedai pada jam 10.15 pagi, semalam.

“Pekerja itu dan seorang rakannya terkejut apabila mendapati pintu penarik atau ‘shutter’ di bahagian hadapan restoran berkenaan sudah dirosakkan dan mangganya sudah tiada.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek lelaki yang memakai pelitup muka dan sarung tangan dikesan mengumpil pintu penarik (shutter) sebelum menyelinap masuk melalui pintu cermin yang tidak berkunci,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek menuju ke tempat peti besi disimpan dalam laci kaunter sebelum membawanya keluar, tetapi masuk semula ke dalam restoran dan membawa keluar mesin juruwang di kaunter.

“Pekerja terbabit mendakwa kejadian sama pernah berlaku pada 23 Februari lalu.

“Setakat ini belum ada tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah kedai.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dengan menelefon 06-556 2222,” katanya.

Views:

360
Kongsi :
Previous post Penunggang motosikal ditahan ketika lalok
Next post Empat juta pengguna domestik dapat bekalan elektrik percuma tiga bulan
Ubah saiz-+=