Reman lelaki disyaki bunuh isteri, bayi disambung seminggu lagi

Masa Membaca:54 Saat

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Tempoh reman seorang lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, di sini, Isnin lepas, disambung tujuh hari lagi sehingga 18 Julai ini.

Perintah reman yang berkuat kuasa esok (12 Julai) itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru Suhaila Shafiuddin hari ini.

Sebelum ini, pencuci kapal berusia 24 tahun itu direman selama seminggu bermula 5 Julai sehingga hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lelaki terbabit ditahan pada 4 Julai lepas di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka, di Kampung Bakar Batu.

Lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

Dua hari lepas, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata seramai 11 individu telah diambil keterangan membabitkan kes pembunuhan itu.

Beliau berkata siasatan juga masih dijalankan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post TYT curi tumpuan lapah daging korban di Istana Melaka
Next post MAFI import 12,000 lembu korban
Ubah saiz-+=