Rumah percuma hadiah Aidilfitri untuk nelayan Telok Gong

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LINGGI 29 April – Selepas 10 tahun menanti untuk mendapatkan kediaman sendiri, seorang nelayan dan tujuh anggota keluarganya tersenyum riang apabila menerima Rumah Prihatin sumbangan kerajaan negeri.

Kehadiran Aidilfitri kali ini lebih bermakna dan amat indah bagi keluarga terbabit kerana berpeluang menghuni rumah yang lebih selesa.

Saharaneh Sulaiman, 50, dan isteri serta enam anak melangkah ke dalam Rumah Prihatin yang dianugerahkan kerajaan negeri secara percuma selepas kerja pembinaan disempurnakan baru-baru ini.

Saharaneh berkata, permohonannya untuk mendapatkan rumah itu sejak 10 tahun lalu, direalisasikan selepas menerima kunci daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah di Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru, dekat sini.

Dia berkata, sebelum ini dia bersama isteri dan anak-anak terpaksa menumpang di rumah ibunya di kampung berkenaan dan sentiasa mengemukakan borang permohonan untuk mendapatkan rumah itu dari semasa ke semasa.

“Saya tidak mampu membina sendiri rumah kerana kehidupan kami sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Isteri saya membantu menambah pendapatan keluarga dengan bekerja kilang tetapi ia masih belum cukup untuk membolehkan kami membina sendiri rumah,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah berkenaan yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Rosli Abdullah.

Dia berkata, tapak rumah dianugerahkan bapanya untuk pembinaan rumah kos rendah tetapi dia terpaksa mendapatkan bantuan kerajaan negeri untuk mendapatkan Rumah Prihatin yang menyediakan dua bilik tidur, dapur dan ruang tamu.

“Rumah ini adalah hadiah kerajaan negeri kepada kami sebelum Aidilfitri menjelma dan kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang membantu kami mendapatkan kediaman selesa,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, tapisan permohonan dilakukan Pejabat Daerah Alor Gajah dan kerja pembinaan rumah diselia dengan teliti oleh JKR Daerah Alor Gajah.

“Rumah Prihatin dua bilik dibina dengan kos RM30,000 manakala bagi rumah tiga bilik ia menelan peruntukan RM37,500,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1922
Kongsi :
Previous post 40 pemilik rumah longgok sisa pukal sesuka hati terima notis
Next post Aliran trafik lebuh raya utama lancar setakat tengah hari tadi
Ubah saiz-+=