Skuad sepak takraw Melaka sasar buru kemenangan STL 2024

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 3 Februari – Selepas mengakhiri kemarau 39 tahun pada Piala Emas Khir Johari, skuad sepak takraw Melaka menanam azam memburu pencapaian terbaik pada kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2024 Ogos ini.

Presiden Perstatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, selepas kejuaraan pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Abdul Halim, Alor Setar, Kedah 27 Januari lalu, pasukan Melaka memberi tumpuan untuk terus memperbaiki persembahan sekali gus mengekalkan momentum kemenangan pada kejohanan seterusnya.

Katanya, sasaran Melaka bertumpu kepada meraih kejuaeaan pada kejohanan STL yang diadakan pada Ogos ini.

“Sasaran kita adalah menjuarai STL 2024 Divisyen 1 dan seterusnya melayakkan Melaka menyertai STL Championship Cup 2024 yang dijangka berlangsung pada November nanti.

“Dan sekiranya ada rezeki, kira juga mahu membawa pulang piala kebanggaan kita iaitu Piala Tun Ali yang kejohanannya diadakan pada Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dan meraikan pasukan sepak takraw Melaka yang melakar kejuaraan pada Piala Emas Khir Johari.

Img 2258
Presiden Perstatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abd Aziz

Terdahulu pemain Melaka dibarisi oleh Regu A Melaka, Syahir Rosdi (tekong), Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Mohd Muqlis Borhan (apit kiri) manakala Regu B Melaka pula terdiri daripada Shakir Jamal (tekong), Arif Daniel Arifin (apit kanan) dan Raqib Effendi (apit kiri) berarak diiringi pasukan kompang dari Melaka Sentral ke Menara Taming Sari.

Perarakan itu kemudiannya disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menitipkan ucapan tahniah selain menitipkan kata-kata semangat untuk terus berjuang demi Melaka.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, kejayaan pasukan itu juga memberi gambaran positif bahawa sukan sepak takraw negeri berada di landasan terbaik untuk melakar lebih banyak kemenangan.

“Dengan adanya acara perarakan ini (meraikan kejayaan pemain), ia akan dapat menyuntik semangat pemain baharu khususnya di Melaka untuk mewakili negeri pada kejohanan akan datang.

“Saya percaya bahawa apa yang dilakukan oleh PASTAM ini merupakan titik permulaan untuk kita mencungkil seberapa ramai pemain agar pemain sedia ada dijadikan sebagai mentor kepada mente yang akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4134
Kongsi :
Previous post Suntik semangat buru emas di SUKMA 2024
Next post Laksana Op Bersepadu, bantu aliran trafik musim perayaan
Ubah saiz-+=