Suami isteri sanggup berhabis demi motosikal ‘pink’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Mei – Motosikal yang dihias dengan warna merah jambu (pink) mungkin kelihatan agak janggal bagi sesetengah orang, namun berbeza bagi Mohd Azuan Ahmad, 45.

Mohd Azuan bersama isteri Fadilah Ahmad, 40, memilih warna yang agak menyerlah itu sebagai suatu kepuasan dalam menghias koleksi 11 buah motosikal milik mereka.

Malah, dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta, sanggup berhabis puluhan ribu ringgit demi menyerlahkan kreativiti mereka pada motosikal sejak melayari bahtera berumah tangga.

“Kesemua 11 koleksi motosikal yang kami miliki telah diubah suai dan diwarnakan dengan warna merah jambu sebab saya memang minat warna itu.

“Untuk sebuah motosikal kami akan berhabis sekurang-kurangnya RM4,000 untuk mengubah suai sendiri menggunakan kreativiti masing masing.

“Setiap kali pulang bekerja saya akan terus menghabiskan masa terluang di rumah dengan motosikal yang ada untuk dijadikan sebagai koleksi yang akan dipamerkan pada mana-mana penganjuran motosikal seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Fadilah yang merupakan seorang pengurus di syarikat swasta berkata, pada awalnya dia hanya menyokong minat suami, sehinggalah dia turut terjebak meminati hobi yang sama.

Dia yang berasal daripada Klang, Selangor sanggup datang ke negeri ini dengan menunggang skuter jenama Yamaha Ego yang dihiasi warna merah jambu dan karikatur labah-labah demi menyertai pertandingan ‘Autoshow’ yang dianjurkan pada Melaka International Motorfest & Scooterfest (MotoXFest) di Litar Motosikal Antarabangsa Melaka (MIMC), di sini.

“Kebanyakan koleksi motosikal adalah motosikal klasik dan skuter yang diubah suai sendiri oleh suami kerana jika kita upah orang kosnya akan tinggi jadi kami sendiri yang ubah suai untuk jimatkan perbelanjaan.

“Hobi ini merupakan kepuasan kami yang mana ia juga meninggalkan kenangan manis kami yang meminati hobi yang sama.

“Setakat ini lebih 30 pertandingan telah disertai dan antara pencapaian yang menarik kami pernah menerima Anugerah ‘Best of The Best’ dalam sebuah penganjuran acara permotoran sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

147
Kongsi :
Previous post Karnival Kita Madani dekati komuniti setempat
Next post Hari Belia Negara 2024 sedia pelbagai aktiviti menarik
Ubah saiz-+=