photo1637288421

Sulaiman: Mereka buat apa semasa berkuasa dahulu?

SERI BENDAHARA 19 Nov – Masalah banjir lumpur di Kampung Bukit Senggeh, Asahan yang didakwa berpunca daripada pengorekan pasir bukanlah isu baharu, sebaliknya telah lama berlaku, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Katanya, isu itu berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dan berlarutan selepas PRU 14 hingga ke hari ini.

Justeru, beliau mempersoalkan mengapa perkara itu dibangkitkan sekarang iaitu sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan mengapa ia tidak diselesaikan pada era dua Ketua Menteri sebelum ini.

“Dahulu mengapa tidak diambil tindakan? Yang pegang lima tahun dahulu (sebelum PRU 14) dan 22 bulan dahulu (selepas PRU 14) kenapa tidak buat ketika itu?

“Kalau hari ini kata baru nak elak banjir, ‘come on’ lah, ini untuk meraih undi, demi kepentingan politik,” tegasnya.

Menurut Sulaiman, walaupun 18 bulan menjadi Ketua Menteri, beliau telah membatalkan beberapa projek pengorekan pasir di kawasan itu selepas dibuat penilaian Jabatan Perhutanan Negeri Melaka.

“Apa-apa semua mesti melalui Jabatan Perhutanan, kalau mereka membenarkan, maka saya bersetuju, tetapi jika mereka tidak membenarkan, saya tidak akan sesekali beri kelulusan.

“Ini kerana hanya mereka (Jabatan Perhutanan) yang lebih tahu dan arif tentang geografi tanah, bukit-bukit dan kerja pengorekan pasir,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai manifesto berkaitan banjir yang turut dibawa oleh semua parti bertanding, Sulaiman berkata, perkara itu sememangnya menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) Melaka dalam manifesto yang ditawarkan.

Katanya, selain projek jangka panjang bernilai lebih RM930 juta, pihaknya juga berjanji akan melaksanakan segala pelan jangka pendek seperti melebar dan mendalamkan sungai serta saliran, menaik taraf rumah pam dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

18
1MDB Previous post Aset dana 1MDB berjumlah RM20.5 bilion dipulangkan kepada kerajaan Malaysia
WhatsApp Image 2021-11-19 at 12.23.59 PM Next post Rauf alu-alukan serangan peribadi pembangkang