TAPA bukti keprihatinan APM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 12 DIS. – “Alhamdulillah, dalam keadaan sekarang sumbangan ini amat besar nilainya untuk menampung perbelanjaan harian,”kata anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Shahrul Riedzuan Abd Rahman yang menerima sumbangan wang tunai menerusi Tabung Kebajikan Pertahanan Awam (TAPA) hari ini.

Sumbangan berjumlah RM200 itu disampaikan Pengarah APM Negeri Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, di Pejabat APM negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Shahrul Riedzuan, 24, yang berkhidmat di Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah berkata, dia menerima bantuan itu kerana cedera di jari kelingking kanan akibat terkena taring ular ketika bertugas tahun lalu.

Mengimbau semula kejadian 15 Julai tahun lalu, dia bersama beberapa anggota APM ketika itu mahu melepaskan seekor ular tedung hitam yang ditangkap ke habitatnya.

“Waktu itu saya memang memakai sarung tangan namun semasa keluarkan reptilia berkenaan dari guni tiba-tiba jari kelingking tersangkut taring dan berdarah.

“Akibatnya saya terpaksa ditahan dua hari di wad Hospital Alor Gajah untuk rawatan bisa ular berkenaan,” katanya yang menyifatkan kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti dalam APM.

Majlis ringkas itu turut menyaksikan penerima bantuan TAPA akibat kemalangan ketika bertugas tahun lalu iaitu Leftenan Muda (PA) Rosniza Mansor, 39, yang cedera jari kelingking akibat tersepit pada ambulans dan Leftenan Muda (PA) Amidah Puteh, 41, serta prebet (PA) Ahmad Ab Malek, masing-masing terkena sengatan tebuan ketika memusnahkan sarang haiwan berbisa itu.

Rosniza menerima RM200, manakala Amidah dan Ahmad masing-masing RM100.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Alor Gajah, Kapten Aljibin Suddin berkata, kewujudan TAPA membuktikan keprihatinan APM kepada kebajikan anggota sukarelawan.

“Isu kebajikan anggota sentiasa menjadi keutamaan APM. Malah, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab sendiri turut mengambil inisiatif unik dengan melancarkan tabung buluh bagi mengumpul dana TAPA.

“Tabung ini diletakkan di setiap pejabat APM negeri serta daerah dan orang ramai juga boleh menyumbang,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama pihaknya menekankan prosedur operasi standard kepada setiap anggota ketika mengambil sesuatu kes, bagi meminimumkan risiko kemalangan.

 

Views:

483
Kongsi :
Previous post Lelaki ugut ibu dihadapkan ke mahkamah
Next post Ah Long dicekup
Ubah saiz-+=