Tiada kes kematian dikait langsung dengan vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR 23 Nov – Tiada kes kematian dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin COVID-19 yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Feb sehingga 20 Nov lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata ia hasil penilaian kasualti melalui post mortem walaupun terdapat 535 laporan melibatkan kes kematian dalam kalangan penerima vaksin dalam tempoh itu.

“Semua kes yang dikategorikan sebagai serius termasuk kes kematian akan disiasat dengan menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan yang berkenaan.

“Laporan penyiasatan ini kemudiannya diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) untuk penilaian kasualti atau hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan R. Sivarasa (PH-Sungai Buloh) mengenai hasil pemantauan Kementerian Kesihatan terhadap penerima vaksin COVID-19 termasuk kes kematian dan kesan negatif yang dikaitkan secara langsung kepada pemberian vaksin.

Aaron berkata sepanjang tempoh itu, sistem pelaporan Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima 23,163 laporan kes advers susulan imunisasi vaksin iaitu 0.45 laporan bagi 1,000 dos yang diberikan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 93.3 peratus daripada laporan kes melibatkan kesan sampingan ringan dan sederhana seperti sakit di tempat suntikan, demam, pening dan keletihan.

“Daripada jumlah ini, hanya 1,549 laporan dikategorikan sebagai serius iaitu bersamaan 0.03 laporan bagi setiap 1,000 dos yang diberikan, dan mereka ini dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut bagi beberapa hari,” katanya.

Timbalan menteri itu turut memaklumkan sepanjang tempoh sama, sejumlah 51,842,386 dos vaksin COVID-19 melibatkan vaksin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac, CanSino dan Sinopharm telah diberikan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

759
Kongsi :
Previous post The Pantun: A Cultural Investment in the Medium and the Message
Next post Fokus atasi masalah perparitan Kampung Peringgit, Pulau Kelapa
Ubah saiz-+=