Abdul Hakim fokus pembaharuan Masjid Tanah

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

MASJID TANAH 2 November – Bakal Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid, 37 memastikan pembaharuan dan pembangunan kawasan itu ditingkatkan demi kesejahteraan penduduk setempat.

Bagi memastikan perkara itu terlaksana, beliau akan melaksanakan kempen secara sihat sebagai prinsip utamanya demi meyakinkan penduduk setempat pembaharuan yang dibawa.

“Misi dan visi saya selepas ini kita perlu ada pembaharuan untuk pembangunan di Masjid Tanah, banyak perkara yang perlu dibangunkan terutama dalam kesejahteraan rakyat termasuk suara anak muda perlu diberi perhatian terutama selepas negara terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Klinik Audit Solat KEMAS Parlimen Masjid Tanah diadakan di Tabik KEMAS Kampung Seri Tanjung, di sini hari ini.

Abdul Hakim yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, bagi mendepani parti lawan di parlimen itu perkara yang paling penting adalah perjuangan parti itu bagi memastikan nasib rakyat terus dibela demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Masjid Tanah.

“Untuk berdepan mana-mana calon parti dari lawan saya mempunyai prinsip sebagai calon BN, kita ada adab, kita ada tatasusila (dan) lebih-lebih lagi kita orang Melayu, (jadi) sebagai calon BN lebih baik saya perlu bercakap tentang apa yang perlu dibuat parti ini untuk membantu rakyat.

“Itu lebih mustahak dan tidak perlu ada kempen secara tidak sihat kerana hari ini pengundi lebih bijak dan tahu memilih, jadi lebih baik kita fikirkan sama-sama demi kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran rakyat,” katanya.

Semalam, Abdul Hakim merupakan Setiausaha Politik, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali diumumkan sebagai bakal calon BN Parlimen Masjid Tanah pada Majlis Pengumuman Calon BN oleh Pengerusinya yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) beliau berdepan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan penyandang Parlimen itu, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin di atas tiket Bersatu.

Ketika ditanya sebagai calon paling termuda disenaraikan BN yang akan bertanding dalam PRU15 kali ini, beliau berkata usia mahupun calon tertentu yang disenaraikan bukannya menjadi satu garis ukuran namun kekuatan parti sendiri yang akan menjamin kemenangan dalam PRU kali ini.

“Semua perkara termasuk urusan calon dan sebagainya kita perlu letakkan pada nombor dua atau ketiga kerana yang paling utama sekali adalah perkara asas kita untuk pastikan parti ini kena menang.

“Apabila diberikan ruang ini saya percaya jentera di peringkat BN khususnya menerusi parlimen dan diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, bersama kepimpinan bahagian, cawangan mahupun Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan meletakkan sasaran untuk menang kali ini, Insyallah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4373
Kongsi :
Previous post Peniaga dapat khemah, terima kasih YB Ah Sem!
Next post Tak perlu bentang ‘karpet merah’ – Shahril Hamdan
Ubah saiz-+=