Akta Lompat Parti penting demi kestabilan politik

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 13 Dis. – Akta Lompat Parti perlu segera diwujudkan demi kestabilan politik negara khususnya ketika berdepan cabaran pandemik COVID-19 ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, kestabilan politik ketika dunia berdepan cabaran kesihatan terbesar juga penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing.

“Tiba masanya kita wujudkan Akta Lompat Parti bermakna siapa (wakil rakyat) yang melompat parti, (dia) tak boleh bertanding selama 10 tahun.

“Kalau ada (akta) macam tu maka kerajaan memerintah akan lebih stabil, ada kestabilan politik jadi barulah negara luar ada keyakinan buat pelaburan di Malaysia.

“Tidak seperti hari ini macam-macam kita boleh dengar, ada kata kerajaan ni tak boleh kekallah, ada yang tebuk ataplah sebab itu kita perlu pastikan berada di landasan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Pak Wan Berkampung Bersama Komuniti Telok Mas di Kampung Ketapang, di sini malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau secara peribadi telah mendapat sokongan pemimpin parti lain yang turut menyokong menubuhkan akta terbabit.

“Untuk wujudkan akta ini perlu sokongan dua per tiga majoriti Ahli Parlimen dan pemimpin parti pembangkang mahupun kerajaan nampak mereka mahu bersama bawa usul akta itu di Parlimen.

“Dengan pemimpin PAS walaupun saya belum dapat berbincang secara dalaman tapi adalah dua, tiga orang tu nampak mereka juga sependapat,” katanya.

Sebelum ini pada 9 Disember lalu, Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar dilaporkan media berkata, isu lompat parti tidak boleh terus dipinggir kerana selain menjejaskan kestabilan kerajaan, ia juga menandakan wujudnya unsur rasuah.

Berdasarkan Global Corruption Barometer 2020 oleh Transparency International, katanya, antara institusi yang dilihat paling terlibat dalam gejala rasuah ialah Ahli Parlimen.

Tambahnya, jika ahli politik hari ini dipandang serong dan tidak mempunyai standard, keadaan sama akan digambarkan untuk generasi masa depan negara.

 

Views:

427
Kongsi :
Previous post RM50 juta naik taraf fasiliti uzur di kawasan pelancongan
Next post Melaka pertingkat usaha bantu B40 miliki rumah
Ubah saiz-+=