Dira terkilan isu COVID-19 sekolah tahfiz Chenderah dipolitikkan

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

RIM 7 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar kesal dengan tindakan pihak tertentu yang sengaja mempolitikkan isu COVID-19 yang menimpa pelajar dan guru Sekolah Menengah Tahfiz Chenderah, Rim, baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya terkejut apabila dimaklumkan tentang kewujudan satu poster berbunyi `Cari orang hilang, kalau jumpa sila hubungi Japerun Rim’ bersebelahan satu artikel bertajuk `Sekolah tahfiz ditutup 7 hari’ yang disiarkan oleh sebuah portal.

“Saya difahamkan poster itu datang dari pihak pembangkang, saya minta pihak berkenaan jika mahu membangkang pun, buatlah secara berhemah dan jangan fitnah saya seperti ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Kekesalan Khaidhirah berhubung perkara itu turut disuarakan pada laman sosial Facebook miliknya, Dira Abu Zahar yang setakat ini mendapat lebih 800 like dan 55 komen yang rata-rata menyatakan sokongan dan meminta beliau tidak mengendahkan dakwaan tidak berasas seperti itu.

Menurut Khaidhirah, beliau sudah meninjau perkembangan pelajar dan guru sekolah terbabit bagi mengenal pasti keperluan mereka pada Ahad lalu iaitu sehari selepas lawatan Exco Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh ke sekolah itu.

DIRA ditemani guru Sekolah Menengah Tahfiz Chenderah meninjau perkembangan pelajar sekolah itu yang sedang dikuarantin sejak Sabtu lalu.

“Saya akui khilaf dan tidak memuat naik terus semua benda yang saya lakukan secara ‘on the spot’ sebab itu mereka tidak nampak saya buat kerja, saya cuma memuat naik gambar lawatan sehari selepas itu di media sosial kerana kekangan waktu.

“Tidak mungkin saya boleh buat tidak tahu kerana ia berkaitan pelajar tahfiz malah Chenderah juga dalam kawasan saya, takkan saya nak buat tidak tahu sedangkan mana-mana kes terpencil pun saya ambil perhatian dan kalau boleh, kita mahu jaga semua orang.

“Inikan lagi melibatkan sekelompok pelajar yang ramai dalam satu tempat taakan saya nak buat tidak tahu, butakan hati dan pekakkan telinga,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak berkaitan supaya memainkan peranan lebih berkesan dalam mengemukakan sebarang isu dan bertindak secara berasas demi membantu kerajaan dalam menjaga kebajikan masyarakat.

“Jangan sengaja nak timbulkan isu sekadar cari populariti dan kepentingan dalam kalangan anggota parti politik mereka sahaja, bukan menegakkan hak masyarakat.

“Justeru, saya gesa pihak pembangkang hentikanlah menangguk di air keruh kerana rakyat menilai ahli politik dan amalkanlah budaya politik khidmat dan politik bakti, bukannya politik persepsi dan dengki,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1190
Kongsi :
Previous post Peng Soon kembali ke pangkuan BAM
Next post Tourism Malaysia menang ‘World’s Leading Country Tourism Board Category’
Ubah saiz-+=