Ikan keli bawa tuah, pemancing menang RM3,000

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KLEBANG 12 April РTuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Mungkin itu pepatah tepat menggambarkan tuah pemancing, Mat Ishak Abdul Rashid, 56, apabila ikan keli seberat 2.225 kilogram (kg) dipancingnya membolehkan dia meraih hadiah wang tunai RM3,000.

Pemancing dari Alor Gajah itu muncul pemenang cabaran memancing Joran Darat 2021 anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klebang yang dikendalikan Joran Unggul Event Management bertempat di Sungai Empangan Pulau Gadong, di sini, semalam.

ISHAK (dua dari kiri) menerima wang tunai RM3,000 daripada Norhizam selepas menjuarai Cabaran Memancing Ikan Darat di Sungai Empangan Pulau Gadong.

Dia yang bekerja sendiri mengakui seakan tidak percaya apabila ikan yang dipancing pada jam 9.35 pagi menggunakan umpan cacing itu muncul ikan terberat sekali gus menewaskan 250 peserta lain.

“Mungkin ini rezeki Ramadan untuk saya dan keluarga. Hadiah kemenangan ini akan dimanfaatkan sebaiknya untuk kami membuat persiapan puasa dan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya yang ditemui Melaka Hari Ini selepas tamat pertandingan.

Tempat kedua menjadi milik Mohd Haizal Salim yang menaikkan keli seberat 1.945kg, manakala tempat ketiga diraih Husni Amin dengan keli seberat 1.375kg, sekali gus masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan RM300.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee.

PEMENANG utama Cabaran Memancing Joran Darat 2021 bergambar dengan Norhizam dan Pengerusi JPKK Klebang Datuk Mohd Yusof Abu Hassan.

Norhizam dalam ucapan perasmiannya menyambut baik penganjuran pertandingan itu yang disifatkan amat baik dalam merancakkan sektor berasaskan perikanan di negeri ini.

Malah, beliau bersedia menyokong sekiranya ada perancangan daripada penganjur untuk meningkatkan skala hadiah pertandingan berkenaan pada masa akan datang dengan syarat ia perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“Sekiranya ada permintaan, saya bersama Jabatan Perikanan Negeri Melaka bersedia untuk melepaskan benih udang galah, ikan siakap dan ikan tempatan bagi menarik kaki pancing ke kawasan Sungai Pulau Gadong pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1549
Kongsi :
Previous post 53 individu ditahan terbabit aktiviti dadah
Next post Siap siaga hadapi pilihan raya tahap maksimum – Sulaiman
Ubah saiz-+=