Jangan berpesta lepas tamat SPM

Masa Membaca:59 Saat

KUALA LINGGI 30 Januari – Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini diingatkan agar tidak melakukan keraian yang melangkaui batasan selepas tamat peperiksaan pada 7 Mac nanti.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Pendidikan Negeri tidak melarang untuk meraikan kejayaan tamat peperiksaan, namun,  keraian itu seharusnya tidak secara berlebihan seperti berpesta dan sebagainya.

Menurut beliau, tindakan itu dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai isu sosial yang mana ia hanya akan mencemarkan imej pelajar, sekolah dan Negeri Melaka itu sendiri.

“Nasihat saya, jika mahu meraikan cukuplah secara sederhana dalam bentuk doa kesyukuran dan sebagainya.

“Selain itu, raikanlah (tamat peperiksaan) dengan cara berterima kasih kepada guru-guru yang mencurah ilmu kepada mereka dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka yang telah menyusun atur jadual dan pelbagai program untuk calon-calon ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni calon SPM Negeri Melaka pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

604
Kongsi :
Previous post Keris Sapukal iringi laungan kemerdekaan di Banda hilir
Next post Seronok cuci mata di Uptown Pahlawan Walk
Ubah saiz-+=