Janji temu vaksinasi calon SPM, remaja 17 belum diberikan lagi

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PUTRAJAYA 23 Julai – Kerajaan bersetuju untuk tidak memberikan vaksin COVID-19 buat masa ini kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata, ia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas remaja pada usia itu mengambil dos kedua suntikan vaksin COVID-19 seperti kajian dijalankan di Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan itu, bagaimanapun ketika ini pemberian vaksin hanya kepada remaja yang akan mencapai usia 18 tahun termasuk pelajar tahun peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Katanya, vaksinasi COVID-19 akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang ditetapkan.

“Selain itu, usaha sedang dilakukan untuk mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan staf sokongan sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah kelak.

“Pelaksanaan ini dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah,” katanya.

Kenyataan itu berkata, ketika ini, pihak KKM juga sedang memuktamadkan garis panduan klinikal pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan remaja yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

“CITF akan membuat makluman lanjut selepas tarikh pelaksanaan vaksinasi bagi golongan ini diputuskan kelak,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pendaftaran bagi kumpulan ini sememangnya sudah diterima oleh sistem MySejahtera, namun tiada janji temu diberikan kepada kumpulan umur berkenaan buat masa sekarang.

“Sistem MySejahtera akan terus menerima pendaftaran vaksinasi untuk golongan remaja supaya ia boleh digunakan pada masa depan apabila sebarang keputusan dibuat berkenaan hal ini.

“Ketika ini, keutamaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara,” katanya.

Katanya, ia termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post Dua lagi kluster di Daerah Alor Gajah dilaporkan
Next post TPM arah KKM senaraikan anak kematian ketua keluarga untuk dibantu
Ubah saiz-+=