JBPM TERIMA WATIKAH PELANTIKAN ILB KEBOMBAAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 26 November – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara rasminya tersenarai sebagai 28 agensi Badan Peneraju Industri atau ‘Industry Lead Body’ (ILB) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Ketua Pengarah JBPM Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, lantikan itu khusus bagi Industri Kebombaan untuk tempoh tiga tahun bermula Julai 2024 hingga Disember 2027.

Katanya, lantikan oleh JPK itu adalah pengiktirafan amat penting kepada JBPM untuk melaksanakan enam peranan utama yang akan memberi impak besar kepada sektor kebombaan negara.

“Kami di pihak JBPM telah memohon sejak tiga tahun lalu untuk menjadi agensi ILB menerusi Kementerian Sumber Manusia dan kali ini telah menerima watikah pelantikan secara rasmi.

“Antara impak daripada lantikan ini adalah dapat memastikan sumber tenaga mahir mencukupi dalam pasaran buruh yang berasaskan kemahiran kebombaan bagi memenuhi keperluan industri semakin berkembang. Pengiktirafan ini juga membolehkan kami menjadi jurucakap kepada industri kebombaan serta mewakili kepentingan sektor dalam perbincangan utama dijalankan.

“Selain, berperanan juga sebagai penghubung antara industri dan JPK dalam memberi maklum balas mengenai keperluan sektor, perkongsian pintar serta kaedah ‘cost sharing’,” katanya ketika ditemui selepas menerima watikah pelantikan ILB bagi Industri Kebombaan yang diserahkan Pengarah Bahagian Hubungan Industri dan Kerjasama Strategik JPK, Faizah Harun, di Bukit Katil, hari ini.

Menurut Ts. Nor Hisham, bagi memastikan peranan ini dilaksanakan dengan berkesan oleh JBPM, beberapa aktiviti strategik akan dilaksanakan oleh JPK termasuk mengenal pasti rangka kerja dan pengelasan pekerjaan dalam industri kebombaan serta kemahiran.

“Selain itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut memainkan peranan penting dalam menjalankan kajian mengenai permintaan serta penawaran tenaga kerja termasuk menjadi peneraju hala tuju industri.

“Pelantikan JBPM sebagai Badan Peneraju Industri Kebombaan merupakan satu elemen yang amat penting bagi menyokong pelaksanaan pelan tindakan, inisiatif, program dan aktiviti di bawah empat teras utama Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030.

“Teras terbabit merangkumi persekitaran yang selamat, amalan dan pembudayaan keselamatan kebakaran, kerjasama strategik yang inklusif serta pemantapan kapasiti dan keupayaan,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Keselamatan Kebakaran Dalam Pengurusan Industri Tahun 2024 yang disertai 717 peserta dari 328 syarikat dan agensi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

77
Kongsi :
Previous post RAIS SUNTIK SEMANGAT CALON SPM DUN PAYA RUMPUT
Next post TIGA NELAYAN NYARIS LEMAS BOT TERBALIK DI PANTAI BACHOK
Ubah saiz-+=