Lebih RM 10 juta bayaran faedah setakat Mei – PERKESO

0
121

AYER KEROH 11 Jun – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka merekodkan sejumlah RM10.072 juta pembayaran faedah setakat Mei lalu.

Pembayaran faedah itu melibatkan penerima yang hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, ilat, penakat dan faedah pengurusan mayat.

Pengarahnya, Abd Razak Omar berkata, justeru itu PERKESO telah menubuhkan Skuad PERKESO Prihatin bagi melaksanakan tugas-tugas khas turun padang menyegerakan kes-kes faedah kepada mangsa atau waris.

“Skuad ini membantu orang berinsurans serta orang tanggungan mereka apabila berlaku kejadian di luar jangka melalui tindakan pantas dan segera tanpa melalui proses biasa faedah.

“Melalui skim akta 4, PERKESO juga mentadbir Akta 789 skim pekerjaan sendiri dan Akta 800 skim insurans pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Faedah PERKESO yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir menerima sumbangan itu, adik bongsu Allahyarhamah, M. Nazir M. Noor.

Jelasnya, kesemua pekerja yang bertaraf kontrak layak dilindungi PERKESO bagi mendapat faedah tersebut.

“Hari ini kita menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat kepada waris Allahyarhamah Norazila M. Noor yang merupakan Pegawai Kontrak yang bertugas di Jabatan Ketua Menteri Melaka.

“Allahyarhamah masih bujang berumur 40 tahun mendapat serangan jantung pada 30 Mei lalu dan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, PERKESO Melaka turut menjelaskan bayaran faedah sejumlah RM72,734 kepada 20 penerima di bawah Akta 789 skim pekerjaan sendiri.

“Ia termasuk skim hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan bayaran ganti belanja. Manakala, bayaran kehilangan pekerjaan di bawah skim insurans pekerjaan ialah sejumlah RM1.6 juta melibatkan 682 kes sehingga Mei lalu,” katanya.