Malaysia tangguh pemergian jemaah haji ke tahun hadapan

0
120
GAMBAR hiasan

PUTRAJAYA 11 Jun – Malaysia menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan itu dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Berdasarkan kepada taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis 13 Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 9 Jun 2020, ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 Hijrah adalah ditangguhkan.

“Saya nyatakan dengan tulus ikhlas bahawa ini adalah keputusan yang amat berat untuk diluahkan. Tanah Suci adalah segala-galanya bagi umat Islam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zulkifli berkata apabila bertembung dua keadaan iaitu yang boleh mendatangkan kebaikan atau kerosakan dalam melakukan sesuatu perkara atau dalam mengelakkan sesuatu, maka syarak telah menetapkan bahawa hendaklah dielakkan perkara yang boleh mendatangkan kerosakan terlebih dahulu kemudian barulah dilakukan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan dengan syarat maslahah tersebut terlalu sedikit berbanding kerosakan yang bakal terjadi.

Zulkifli berkata sehingga kini, masih belum ada vaksin yang sesuai untuk mengekang penyebaran virus COVID-19 yang meragut banyak nyawa di seluruh dunia.

“Ibadat haji yang merupakan rukun Islam yang kelima berkait rapat dengan syarat istito’ah, iaitu berkemampuan menunaikan haji dari aspek kesihatan, keselamatan, keizinan melakukan perjalanan ke Tanah Suci dan kewangan.

“Tanpa keupayaan atau kemampuan pada hal-hal yang disebutkan, maka menurut hukum syariah syarat istito’ah tidak dicapai untuk mewajibkan kita menunaikan haji,” katanya.

Zulkifli berkata beliau telah menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadat haji bagi Malaysia kepada Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan untuk disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Mohammed Saleh bin Taher Banten.

Malaysia adalah antara negara yang menangguhkan penghantaran jemaah haji selain Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei.

— BERNAMA