Sesi persekolahan dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PUTRAJAYA, 1 Julai – Pelajar tingkatan satu hingga  empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima dan  enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

“Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen tempatan, hari ini.

Katanya pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam itu dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Mohd Radzi, semua institusi pendidikan swasta di bawah kategori pusat yang berdaftar dengan KPM termasuk pusat tuisyen, bahasa dan pusat perkembangan juga boleh dibuka semula pada 15 Julai.

Beliau juga memaklumkan keputusan penawaran kemasukan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ke tingkatan enam semester 1 tahun 2020 boleh disemak mulai hari ini melalui portal kementerian. Calon lepasan SPM terbabit juga akan mendaftar pada 15 Julai.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata KPM melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau kaedah lain yang bersesuaian sepanjang hampir empat bulan bagi memastikan lebih 5.7 juta pelajar yang tidak hadir sekolah ekoran pandemik COVID-19 dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan.

Bagaimanapun, beliau pihaknya sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian kerana kaedah Home-Based Learning adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa.

“Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad. Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan Home-Based Learning agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka,” katanya.- BERNAMA

Views:

704
Kongsi :
Previous post Pembukaan semula sektor: Agong seru rakyat patuh garis panduan
Next post Pengurusan taman tema air utamakan SOP
Ubah saiz-+=