SSM cadang RUU Syarikat dipinda, bantu syarikat secara menyeluruh

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat dipinda, bagi memperkenalkan peruntukan baharu untuk membantu syarikat yang mengalami masalah kewangan secara menyeluruh dan bukan hanya ketika berlaku pandemik.

Pengerusi SSM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, beberapa inisiatif yang diperkenalkan agensi itu sebelum ini dalam membantu mengurangkan beban syarikat yang terkesan akibat COVID-19 adalah bersifat sementara, dan bukan mekanisme perlindungan jangka masa panjang.

“Berdasarkan pengalaman semasa berlaku situasi seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19 yang berpanjangan, ada kekangan yang menjejaskan ekonomi, menyebabkan terdapat kesan-kesan tertentu yang terpaksa dialami syarikat.

“Peruntukan yang sedia ada dalam akta, mungkin tidak menyediakan satu perlindungan yang berkesan kepada komuniti perniagaan, dan perubahan akta sedia ada perlu untuk memberikan satu mekanisme (perlindungan) yang lebih berpanjangan serta berkesan, pada masa depan.

“Jadi, saya berharap cadangan pindaan RUU ini dapat dipertimbangkan sewajarnya,” katanya dalam sidang media di Menara SSM, hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif SSM Nor Azimah Abd Aziz.

Mengulas tentang jumlah syarikat yang mungkin sudah gulung tikar kesan daripada pandemik COVID-19, Hasnol Zam Zam berkata, maklumat berkenaan hanya akan diketahui seawal suku pertama tahun depan.

“Sekarang kita masih ada tempoh lanjutan moratorium dan syarikat serta perniagaan akan memanfaatkan tempoh lanjutan ini, untuk menstruktur semula perniagaan mereka. Jadi, data yang tepat hanya dapat dikeluarkan selepas tamat tempoh lanjutan yang diberikan.

“Bagaimanapun, kita dapati banyak aktiviti pendaftaran perniagaan telah mula rancak dilaksanakan,” katanya.

— BERNAMA

Views:

1
Previous post COVID-19: 11 hari berturut-turut tiada kematian direkodkan
Next post PENJANA: Inisiatif awal pacu ekonomi negara