Sudah lima tahun kongsi burger bersama pelanggan

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BACHANG 9 Oktober – “Apa yang saya buat ini ikhlas, malah saya anggap ini adalah saham buat saya di akhirat kelak. Semuanya bermula selepas menempuh situasi menyentuh hati, melihat ada pelanggan berkongsi sebiji burger dengan beberapa ahli keluarga yang ramai,” kata peniaga burger Mohamed Asiff Mohamed Amiz yang berkongsi rezeki dengan memberikan makanan itu secara percuma kepada pelanggannya yang kurang berkemampuan.

Mohamed Asiff berkata, pemberian burger percuma itu dimulakan sejak lima tahun lalu namun, dilakukan secara senyap tanpa hebahan secara meluas, namun diketahui ramai selepas tular di media sosial baru-baru.

“Tidak sanggup saya apabila ada anak meminta burger ayam tetapi si ayah tidak punya wang yang cukup jadi dalam diam saya akan berikan.

“Ada juga anak-beranak datang satu keluarga menggunakan motosikal tetapi cuma beli tiga biji burger. Tetapi atas dasar mahu bersedekah saya berikan lebih supaya cukup untuk mereka semua,” katanya yang sudah mengusahakan Asip Burger Bachang sejak 2007.

WhatsApp Image 2022-10-08 at 7.04.37 PM (1)
NOTIS pemakluman kepada pelanggan kurang berkemampuan mengenai kesediaan Mohamed Asiff untuk bersedekah diletakkan di depan gerai diusahakan.

Bapa kepada empat anak itu berkata, pada kebiasaan situasi itu dilalui pada pertengahan dan penghujung bulan, berikutan itu dia meletakkan notis makluman mengenai kesediaannya untuk berkongsi rezeki.

“Saya sedar ramai yang malu untuk meminta tetapi selepas sudah biasa dan kita tahu, alhamdullilah mereka yang biasa sudah biasa. Nasihat saya tidak perlu segan jika anda memerlukan,” katanya.

Dia yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berkata, selain sumbangan peribadi, ada pihak lain yang tampil untuk memintanya bersedekah bagi pihak mereka.

“Selain burger, saya turut sedekahkan roti john. Tengok pada situasi, kadang-kadang anak kecil ini ada masa hendak tukar selera jadi kita tolong tunaikan. Apabila lihat riak wajah anak ini gembira kerana dapat apa yang diidamkan, buatkan saya berasa lega.

“Insya-Allah, selagi diizinkan saya akan teruskan amalam berkongsi rezeki ini. Sumbangan ini juga hasil daripada wang baki yang tidak diambil pelanggan. Saya kumpul dan kemudiannya akan dikongsi dengan mereka yang memerlukan,” katanya yang turut dibantu adiknya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3488
Kongsi :
Previous post 3,000 warga Melaka semarak Malam Cinta Rasul
Next post Lebih 5,000 sertai perarakan Maulidur Rasul Melaka
Ubah saiz-+=