4,566 pekebun kecil koko terima bantuan input pertanian bernilai RM2.69 juta

0
538

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Sebanyak 4,566 pekebun kecil koko yang layak, dengan kawasan tanaman seluas 3,134 hektar di seluruh negara, menerima bantuan input pertanian menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM2.69 juta.

Lembaga Koko Malaysia (LKM) berkata pemberian bantuan itu akan membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID 19.

“Pengerusi LKM, Anyi Ngau juga telah menekankan harapan beliau supaya peranan dan fungsi LKM diperkasakan bagi memacu pembangunan industri koko negara,” menurut LKM dalan kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin dan Anyi ke Pusat Inovasi dan Teknologi Koko (PITK) di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

LKM berkata Anyi merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas inisiaif bantuan tersebut.

Semasa lawatan kerja itu, Willie dan Anyi diberi taklimat mengenai LKM serta fungsi dan peranan PITK Nilai yang merangkumi penyelidikan dalam bidang pemprosesan koko, pembangunan produk, peningkatan kualiti dan penyelenggaraan produk koko.

PITK menawarkan kursus pembuatan coklat buatan tangan, coklat ‘panning’, sensori coklat serta menjalankan aktiviti pelesenan dan penggredan, kata LKM.

LKM berkata di samping itu ia juga menjalankan penyelidikan bagi pembangunan produk bukan makanan berasaskan koko, malah antara yang berjaya dikomersialkan ialah produk ubat gigi dan produk mandian berasaskan koko.

Willie dan Anyi juga telah diberi penerangan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan PITK Nilai seperti analisis produk koko, pengeluaran blok coklat untuk usahawan coklat bimbingan LKM dan penyewaan mesin Makmal Rintis Coklat serta pameran hasil penyelidikan LKM.

— BERNAMA