Burger laris lebih 100 biji sehari

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

LENDU 24 Feb. – Walaupun pembiayaan mikro kredit yang diterima Naqib Iman Mahathir, 23, hanya RM1,000 tetapi ia sudah cukup untuk membolehkannya mengembangkan perniagaan burger.

Pembiayaan yang diterima penuntut Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) itu melalui Program KPT-MEDAC Siswapreneur, membolehkannya menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.

Naqib Iman

Sejak memperoleh mikro kredit itu daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang mengendalikan penyaluran pinjaman itu daripada Program KPT-MEDAC Siswapreneur pada awal bulan ini, beliau mencatatkan jualan lebih 100 burger sehari berbanding 30 sebelum ini.

Penuntut Diploma Isyarat dan Komunikasi Landasan Kereta Api itu berkata, beliau memulakan perniagaan di Taman Sri Aman, di sini, dengan modal terhad pada Ogos lalu dan menghadapi kesukaran mengembangkan operasi.

Katanya, melalui bimbingan Ketua Unit Keusahawanan KKMT, Nurliyana Nasaruddin dan Penyelaras Keusahawanan, Haslina Hashim, dia memohon pembiayaan mikro kredit Program KPT-MEDAC Siswapreneur.

Naqib Iman menerima replika cek pembiayaan mikro kredit RM1,000 daripada Mas Ermieyati di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah baru-baru ini.

“Alhamdulillah, selepas menerima pembiayaan itu daripada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin awal bulan ini, saya mampu mengembangkan
operasi.

“Saya berazam menambah baik usaha menghasilkan burger yang dijual RM2 hingga RM3 setiap satu agar muncul antara peniaga burger terkemuka di daerah ini.

“Memandangkan pembelajaran secara dalam talian, memberi lebih banyak ruang kepada saya menguruskan perniagaan dari jam 5 petang hingga 11 malam,” katanya yang bertekad berjaya dalam pengajian dan perniagaan ketika ditemui semalam..

Turut hadir, Nurliyana dan Haslina.

Program KPT-MEDAC Siswapreneur disediakan melalui kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan MEDAC yang dilancarkan pada November lalu.

Mas Ermieyati Samsuddin dilaporkan berkata, Naqib Iman adalah seorang daripada tujuh usahawan siswa yang menerima pembiayaan berkenaan setakat 10 Februari lalu.

Program itu menyediakan kemudahan pembiayaan antara RM1,000 hingga RM5,000 untuk penuntut yang masih dalam pengajian tetapi berminat dalam bidang keusahawanan.

MEDAC menyediakan peruntukan RM20 juta kepada TEKUN untuk menjayakan program itu dengan pembayaran balik serendah empat peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post Dr Mohd Daud Bakar dilantik Pengerusi MAIWP baharu
Next post Tiger Woods cedera selepas terbabit nahas jalan raya
Ubah saiz-+=