Diskaun 50 peratus naiki MTS selepas PKPB

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 3 Jun – Menara Taming Sari memberikan tawaran istimewa berupa diskaun 50 peratus harga tiket kepada rakyat negeri Melaka bermula 1 Jun hingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, Azlan Abidin berkata, tawaran itu tidak hanya terhad kepada anak Melaka, tetapi ia juga dibuka kepada pelajar dan pekerja yang bekerja di negeri ini.

Jelasnya, pembelian tiket dengan diskaun istimewa itu sah digunakan sehingga 31 Disember 2021, yang mana ia bertujuan untuk merancakkan kembali sektor pelancongan negeri ini selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) nanti.

“Melalui diskaun 50 peratus ini, rakyat Melaka dapat membeli tiket dengan harga RM8.50 sahaja untuk dewasa dan RM5.50 untuk kanak-kanak berbanding harga asalnya RM17 dan RM11 sebelum ini.

“Selain diskaun istimewa buat rakyat negeri ini, kita turut memperkenalkan satu lagi tawaran istimewa berupa pakej menarik yang menggabungkan tiket Menara Taming Sari bersama Melaka River Cruise dan muzium-muzium yang ada di Melaka.

“Pakej yang diperkenalkan menerusi slogan ‘Dream Now Travel Later’ ini boleh didapati melalui aplikasi Melaka eXcess terbuka buat semua pelancong dalam dan luar Melaka.

“Bagi saya pakej ini tersangatlah berbaloi untuk semua pengunjung datang ke Melaka dan melancong ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan dan pemantauan di sekitar kawasan Menari Taming Sari, semalam.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan rapi untuk membuka kembali Menari Taming Sari kepada pengunjung, walaupun belum mengetahui tarikh sebenar sektor pelancongan dibenarkan beroperasi semula.

Ujarnya, persiapan awal tersebut amat penting memandangkan semua sektor diwajibkan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Dari segi keselamatan, ia memang 100 peratus menjadi keutamaan kami yang mana untuk norma baharu ini kami telah bersedia dengan beberapa SOP khusus, termasuklah menyediakan tempat kuarantin selain turut menyediakan ‘hand sanitizer’ dan menggalakkan penggunaan ‘face mask’ di kalangan pengunjung.

“Selain itu, kita juga akan mengambil bacaan suhu semua pengunjung dan menetapkan jarak satu meter.

“Pada masa sama, kita turut mengurangkan kapasiti pengunjung di dalam menara iaitu hanya 30 pengunjung satu-satu masa, berbanding 66 pengunjung sebelum ini,” ujarnya.

Views:

365
Kongsi :
Previous post Pesara PBT rugi RM682,000 ditipu Macau Scam
Next post CAP gesa KPKT bekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak
Ubah saiz-+=