Eric Paulsen bukan lagi ahli MPKM – KKMM

Masa Membaca:58 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Peguam Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM), menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

KKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu tidak akan menjejaskan fungsi MPKM yang  ditubuhkan pada 9 Jun lepas.

“Ia (MPKM) akan terus berperanan membincang dan menasihati Kementerian dalam pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia selaras dengan matlamat KKMM,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, MPKM bermesyuarat kali pertama pada 9 Jun lepas sebagai platform bagi kerajaan membincangkan dan mendapatkan input daripada pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dianggotai 15 ahli termasuk tiga daripada KKMM iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah sebagai pengerusi; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai timbalan pengerusi; dan Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad.

Paulsen, wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) antara barisan ahli yang dilantik dalam badan tersebut.

Antara ahli majlis MPKM ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Dr Awang Sariyan; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Tokoh Wartawan Negara 2019 Tan Sri Johan Jaafar.

– BERNAMA

Views:

280
Kongsi :
Previous post 883 taska berdaftar dengan JKM kembali beroperasi
Next post MITI to grant 12-month extension for approved manufacturing companies
Ubah saiz-+=