Jenazah pelajar meninggal dunia di UK selamat dikebumikan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SEREMBAN 14 April. – Jenazah penuntut Malaysia Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia selepas menerima rawatan selama empat hari di unit rawatan kritikal sebuah hospital di United Kingdom (UK), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Jenazahnya yang tiba dari UK semalam dibawa ke Masjid Negeri di sini kira-kira jam 7 malam untuk disembahyangkan sebelum tiba di tanah perkuburan sekitar 8.40 malam untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya, Nazihahwati Mohiddin, 36 tahun.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan berkenaan dengan kehadiran lebih 50 ahli keluarga.

ALLAHYARHAM Muhammad Hafidz Abdullah penuntut Malaysia yang meninggal dunia di United Kingdom, Khamis lalu. Foto mykmu.

Muhammad Hafidz, 36, yang ditahun kedua pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield itu disahkan meninggal dunia kira-kira 11.35 pagi 8 April lalu selepas isterinya membuat keputusan membenarkan pihak hospital Northern General Hospital di Sheffield mematikan alat bantuan pernafasan atas nasihat pasukan perubatan.

Beliau yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan tiba-tiba pengsan semasa bermain bola di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield pada 4 April lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan semasa rawatan.

Sementara itu bapa Allahyarham, Abdullah Kasim, 65, mengakui sangat sedih dan terkejut selain menyifatkan pemergian Muhammad Hafidz satu kehilangan besar buat keluarganya.

Beliau yang tiba dari Shah Alam turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana membantu urusan membawa pulang jenazah anaknya.

Menurutnya, mereka bercadang untuk menziarahi Allahyarham sebaik mengetahui keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot namun terpaksa menangguhkannya kerana kekangan susulan penularan pandemik COVID-19.

“Kami tunggu keadaannya makin pulih tetapi tak sempat kerana dia pergi dulu…dia anak yang baik, bagaimanapun kami reda dengan pemergiannya.

“Kali terakhir kami bersua muka sebelum dia ke UK pada September 2019, dan ketika dia berada di sana pun setiap hari dia telefon kami untuk bertanya khabar dan kali terakhir kami berkomunikasi adalah sehari sebelum arwah pengsan,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

841
Kongsi :
Previous post Pekerja ulang alik Melaka-Seri Kembangan cetus kluster baharu
Next post Tidak benar Kelantan bakal kena PKP- Polis Kelantan
Ubah saiz-+=