Penyata terperinci Bantuan Prihatin Elektrik dalam bil Julai – TNB

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Pelanggan domestik (kediaman) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat melihat butiran manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) bagi bulan April, Mei dan Jun menerusi Penyata Terperinci yang akan dikeluarkan pada Julai.

Menurut kenyataan TNB hari ini, penyata tersebut akan diterima berserta bil Julai dalam masa tujuh hari selepas pembacaan meter itu dijalankan.

“Mereka juga boleh melihat Penyata Terperinci dan bil tersebut melalui laman sesawang serta aplikasi MyTNB selepas 48 jam menerima Notis Makluman tersebut.

“Pembaca meter TNB akan melakukan bacaan bulai Julai di premis-premis pelanggan mulai 3 Julai, 2020 dan pelangan akan turut diberi Notis Makluman bahawa pembacaan telah pun dilakukan,” katanya.

Pada 20 Jun lepas, kerajaan berserta TNB telah mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada 7.66 juta pelanggan domestik.

Ini menerusi pembiayaan penggunaan elektrik percuma sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April, Mei serta Jun, 2020 dan bantuan tersebut akan dinyatakan dalam bil sebenar.

Selain itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sebanyak 601-900 kWj sebulan akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus iaitu tambahan 8 peratus daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak 2 peratus bermula  April 2020 hingga September 2020.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai bil boleh dibuat menerusi talian TNB CareLine 1-300-88-5454 atau e-mel [email protected] atau di Kedai Tenaga berhampiran.- BERNAMA

Views:

362
Kongsi :
Previous post Sekolah agama, madrasah tahfiz boleh beroperasi mulai 15 Julai
Next post Kes buang bayi dalam kumbahan, pekerja kilang dipenjara enam bulan
Ubah saiz-+=