Quartararo, Morbidelli, teruja memulakan semula musim MotoGP 2020

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KUALA LUMPUR 17 Jun – Pasangan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo kini amat teruja menunggu untuk kembali berlumba dalam Kejohanan MotoGP bulan hadapan, selepas ia ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Quartararo menjelaskan yang beliau amat gembira dengan pengumuman oleh Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, dan juga Persatuan Pasukan Perlumba Antarabangsa (IRTA) berkaitan jadual baru kalendar MotoGP yang akan menyaksikan 16 perlumbaan diadakan termasuk MotoGP Malaysia pada November.

“Ia satu kalendar yang berlainan, yang boleh dijalankan dalam situasi luar biasa ini. Kami akan hadapi perlumbaan berturut-turut di litar yang sama dan jumlah GP yang kurang, tetapi saya rasa apa yang lebih penting ialah untuk menamatkan perlumbaan dan hadapi satu-satu perlumbaan dahulu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukannya, hari ini.

“Anda perlu amat berhati-hati dengan kemalangan dan kecederaan, kerana dalam kejohanan yang begitu rapat, satu kecederaan boleh menyebabkan anda terkeluar dari banyak perlumbaan. Ia juga amat penting untuk mengikuti protokol dengan betul,” tambah pelumba kelahiran Perancis yang menamatkan tujuh perlumbaan di podium pada musim lepas.

Morbidelli yang menyatakan perasaan yang sama, turut berterima kasih dengan Dorna Sports, IRTA yang mana pelumba boleh memulakan perlumbaan mulai bulan hadapan.

“Kami akan rindukan peminat dan suasana minggu GP yang normal, tetapi kami faham yang ini merupakan situasi percubaan dan tidak lama lagi kita akan kembali kepada kehidupan normal.

“Untuk sampai ke tahap itu, kita perlu bertindak dengan selamat dan bertanggungjawab. Dorna dan IRTA telah berjaya menganjurkan sesuatu yang dianggap mustahil, jadi sekarang kita perlu ikuti nasihat dan elakkan isu pada saat akhir,” katanya.

Sementara itu prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT Datuk Razlan Razali menyatakan yang pasukan itu bersedia untuk megikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Dorna Sports, bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

“Walaupun kami akan kembali beraksi, ia akan kelihatan lain di litar. Perlumbaan pertama akan diadakan tanpa penonton dan jumlah orang yang kurang di paddok berbanding sebelum ini. Kami berharap untuk kembali normal selepas ini dan tetapi buat masa ini, terdapat beberapa sekatan dikenakan,” katanya.

Kejohanan MotoGP Dunia 2020 akan akan melibatkan 13 pusingan perlumbaan di Eropah antara Julai dan November, dengan terdapatnya potensi untuk empat pusingan di luar Eropah pada November dan Disember.

Pusingan pertama menyaksikan pasukan akan ke Sepanyol untuk perlumbaan pada dua hari minggu di Jerez iaitu pada 19 dan 26 Julai.

— BERNAMA

Views:

328
Kongsi :
Previous post Asrama sekolah perlu patuhi SOP – KPM
Next post Court allows AG’s ex-parte bid for leave to commence committal proceedings against Mkini Dotcom, editor-in-chief
Ubah saiz-+=