Seorang lema, dua hilang di Pantai Kandis, Bachok

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BACHOK 29 Mac – Seorang lemas manakala dua lagi hilang dibawa arus dalam satu perkelahan yang bertukar tragedi di Pulau Kambing, Pantai Kandis, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Yusrizal Mohd Ghazali berkata, terdahulu mangsa Mohd Sahudin Mat Shaah, 46, yang tinggal berhampiran datang berkelah bersama 12 ahli keluarga dan jiran di pantai itu telah menyelamatkan anak lelakinya yang berusia 15 tahun bersama rakan anaknya daripada lemas.

“Selepas menyelamatkan anaknya, mangsa Mohd Sahudin turun sekali lagi untuk menyelamatkan rakan anaknya Mohd Aman Firaz Aman Shah, 12.

Kejadian yang berlaku itu menarik perhatian Junai Rohafizan Juhari, 35, yang berada di lokasi kejadian untuk turut sama bantu usaha menyelamat. Namun Mohd Sahudin, Mohd Aman Firaz dan Junai Rohafizan terus hilang dibawa arus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Yusrizal berkata mayat Mohd Sahudin ditemukan pada jam 7.19 malam telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Yus Heary Mahmud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang mengenai kejadian itu.

Beliau berkata seramai 15 anggota bomba dari BBP Bachok dan BBP Tok Bali telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba menemukan mangsa pertama pada jam 7.19 malam. Usaha dilakukan untuk mencari dua lagi mangsa pada jarak 120 meter dari pesisir pantai di sepanjang Pantai Kandis sehingga Pantai Tok Bali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1172
Kongsi :
Previous post Rumah terbakar sejam sebelum majlis pertunangan
Next post Ibu guna parang halang AADK tangkap anak
Ubah saiz-+=